13 January 2014

Artikel - Mengurus perbezaan agama, bangsa


Hakikatnya, manusia berbeza-beza dari segi bangsa, jantina, agama dan budaya. Al-Quran menyebut perbezaan ini sebagai satu daripada tanda keagungan Allah SWT bagi mereka yang sentiasa berfikir mengenai kebesaran-Nya (Ali Imran, 190). Di samping makna kerohanian, kepelbagaian kaum juga mempunyai fungsi tertentu dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Ia boleh menjadi faktor kemajuan dan kehebatan sesebuah negara. Tidak kurang juga menjadi faktor pemusnah dan kesengsaraan sekiranya ia tidak diurus dengan baik. Sri Lanka misalnya menghadapi perang saudara selama 25 tahun, kerana perbezaan agama dan bangsa. Begitu juga di Rwanda antara puak Hutu dan Tutsi pada 1994 dan perang Bosnia pada 1992 dan baru-baru ini masyarakat Islam Rohingya turut menjadi sasaran penindasan agama dan bangsa di Myanmar. Dari segi komposisi penduduk, Malaysia tidak jauh beza dengan negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk. Tapi perkara seperti itu tidak berlaku. Antara faktor utamanya ialah kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang terdiri pelbagai kaum dan agama. Mereka berjaya mencipta formula bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Usah ambil ringan Kita tidak seharusnya mengambil ringan atau 'take for granted' nikmat keamanan ini, kerana ia satu anugerah Allah. Dengan keamananlah, kata Imam al-Ghazali kita boleh hidup selesa, berniaga, bekerja, membina keluarga, mengecapi kebahagiaan hidup dan seterusnya mengamalkan agama (lihat Imam al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-'Itiqad, Beirut, Dar al-Kutaiba, 2003). Sebaliknya, kalau kita gagal Mengurus perbezaan ini dengan baik atau ada pihak yang cuba mewujudkan provokasi yang bersifat perkauman dan keagamaan, tidak mustahil negara boleh terjerumus dalam kancah konflik agama berdarah seperti yang berlaku di beberapa tempat di dunia hari ini. Pada asasnya, mengurus perbezaan amat sukar, terutama dalam mengurus dua isu utama yang sering menjadi sumber pergaduhan; isu agama dan bangsa. Bahkan di zaman Nabi pun, dua faktor ini menjadi agenda penting dalam siyasah Rasulullah seperti yang kita dapat lihat dalam Perlembagaan Madinah. Jadi persoalannya, bagaimana cara untuk mengurus dua perkara ini? Apakah penjelasan al-Quran berhubung perkara ini? Dan apakah pengalaman yang kita boleh pelajari dari negara lain dalam pengurusan perkara ini? Manfaat satu sama lain Berkenaan pengurusan kaum atau 'ethnic management', al-Quran menyebut: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal.” (al-Hujurat, 13). Ayat ini jelas memberi peringatan kepada kita bahawa perkauman isu penting dan ia bukan jadi sebab untuk permusuhan, tapi supaya kita dapat mengenali, mempelajari, menghargai dan mendapat manfaat antara satu sama lain.
Saya yakin kejayaan negara hari ini kerana kita mengamalkan formula ini iaitu kita menjadikan kepelbagaian kaum sebagai sumber kekuatan. Setiap kaum ada kelebihan dan kekuatan budaya yang boleh dimanfaatkan. Kalau kita perhatikan, kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman dibina atas sumbangan pelbagai bangsa yang menjadi sebahagian rakyatnya. Tapi, perlu juga kita ingat setiap kaum itu tidak seharusnya mengambil peluang mendominasi kaum lain, terutama penduduk tempatan kerana ini boleh membawa kepada rasa tidak puas hati dan peminggiran dalam sektor ekonomi dan sosial. Keadaan ini boleh mengancam kestabilan sosial dan negara. Dalam aspek pengurusan agama pula, pada dasarnya seperti disebutkan dalam al-Quran: Bagimu agamamu, bagiku agamaku.” (al-Kafirun, 6). Dalam ayat lain disebut tidak ada paksaan dalam agama” (al-Baqarah, 256). Islam menganjurkan toleransi pada agama lain. Dalam kata lain, membenarkan agama lain diamalkan dengan selesa oleh penganutnya. Prinsip ini juga diamalkan di negara kita seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara manakala agama lain boleh diamalkan secara bebas. Meskipun begitu, negara perlu campur tangan sekiranya ada khilaf dalam soal agama dan keputusan perlu ditetapkan selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan. Paling penting, apabila keputusan itu dibuat, ia perlu dipatuhi oleh setiap rakyat untuk menjaga keharmonian dalam negara. Maka, tidak perlulah ada pihak yang cuba membuat tafsiran dan mengutarakan pandangan yang boleh mengganggu keutuhan keputusan negara. Kerana sikap ini boleh membawa kepada kecelaruan pada masyarakat dan mengganggu keberkesanan pengurusan negara. Berbeza pendapat dibenarkan dalam Islam, tapi mesti kena pada tempat dan masanya. Ada masa kita perlu henti berpolemik dan patuh pada sesuatu keputusan yang dibuat untuk menjaga keutuhan negara dan ummah. Kerana ia lebih utama dari segi awlawiyyat atau prioritinya. Rela mati demi agama Isu agama amat berbahaya pada sebuah negara, terutama dalam masyarakat majmuk. Manusia rela mati kerana pertahankan agama. Masyarakat kita umumnya bersikap toleransi dan sederhana, tapi kita perlu ingat dengan polemik agama yang panas dan berterusan, ia boleh menjadi pencetus timbulnya ekstremis agama yang boleh mengancam kestabilan negara dan keharmonian kaum. Ini satu perkara yang tidak mustahil kerana ia sudah berlaku di negara lain. Saya yakin sekiranya semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan mengelak daripada menimbulkan sebarang bentuk provokasi sama ada secara terang atau sembunyi, kita akan dapat mengembalikan suasana harmoni antara agama di Malaysia. Sebaliknya, kita mungkin akan berhadapan dengan suasana tegang dan kebencian berpanjangan.
Sempena Tahun Baru 2014 ini, marilah sama-sama kita mewujudkan mahabbah dan harmoni dalam negara kita. Sesungguhnya, satu kerugian yang amat besar kalau kita terus berkonflik dan saling membenci. Bertrand Russell (1872-1970) pernah ditanya dalam temuramah terakhirnya, apa pesanan terakhir pada generasi akan datang, beliau menjawab 'love is wise, hatred is foolish' atau kasih sayang itu satu kebijaksanaan, kebencian itu perkara yang amat bodoh.

Penulis sedang melanjutkan pengajian pada peringkat PhD di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC)
Sumber : Mengurus perbezaan agama, bangsa
Harian Metro – Fri, Jan 10, 2014

No comments :

Post a Comment

 

About Myself

I am comfident because I can admit who I am, what I've done & love myself for who I've become.

Thanks

for visiting my blog.
by Nur Syazwina

Friendship

Bila Kita Berjaya, kawan-kawan kita kenal siapa kita..
Bila kita jatuh, kita kenal siapa kawan kita..